Size / / /

Orang I

DOT: Yang telah menoktahkan sebuah kisah. Kisah yang telah mati. Atau kisah yang belum dihidupkan lagi? Yang tidaklah jauh di depan, di atas susurmasa yang disimpang-siurkan jalan ceritanya. Dengan garis-garis cahaya yang menjelmakan awan-gemawan, laut, pokok kelapa, pasiran pantai dan sebagainya. Landskap pagi yang mempesona. Salin tak tumpah seperti sebuah lukisan. Lukisan alam. Awan-gemawan menggebu. Laut menggelora seperti dahulu. Dilambai gemalai rambu pokok kelapa dek rindu dendamnya. Desir pasir pula ingin membisikkan rahsia-rahsia tanah besar dari seberang sana yang tidak sempat sampai; andai didamparkan ombak ke pantai, lantas ditarik kembali sebelum ditenggelamkan gelora. Dan sebagainya. Dan kita? Sudah pun tiba di penamat sebelum segala-galanya pun sempat bermula: “Kisah yang telah mati. Atau kisah yang belum dihidupkan lagi?” Pada waktu awan-gemawan, laut, pokok kelapa, pasiran pantai dan sebagainya lenyap ke dalam setitik noktah. Ke dalam titik yang enggan berada di dalam garisnya. Ke dalam dot.

“Sebegitu perspektif kau?” soalku. Ingin kutahu pandangannya—sudut pandang pertama. Pandangan yang tertancap di suatu landskap. Pandangan yang memerangkap?

“Aku…,” kata Noor ketika angin nipis hadir menyisir rambutnya, “Pun rasa begitu.” Pandangan yang sekadar untuk mengiyakan. Untuk tidak membebaskan jawapan-jawapan rumit yang akan memaculkan lagi pertanyaan demi pertanyaan? Untuk menidakpuaskan hatiku. Noor memang begitu. Masih seperti dulu. Jika ditanya dua tiga patah, dua tiga patah jualah yang diluah. Suaranya pun antara dengar dengan tiada. Barangkali kata-kata lain yang terluah sudah pun lesap dibawa angin Selat Melaka pergi entah ke mana. Sepertimana angin sibuk itu gesit membawa angan-anganku—hasratku—ke pulau ini. Ke kota George Town ini demi catan landskapnya. Entah dari mana. Aku dari mana?

Sampan, perahu tak bertuan beroleng-oleng di tepi jeti. Tertambat sepi. Di pangkal jeti, di belakang tiang lampu, seorang lelaki berkemeja merah jambu masih berdiri. Siapakah dia? Mengetik kameranya, menggambar landskap pagi. Atau menggambar kami? Kucuba untuk tidak mengendahkan. Seperti yang sering diulang-ulang Noor, “Aku rasa dia terlupa masukkan filem ke dalam kamera.”

Kelihatan sebuah feri mendekat.

“Kerana bakat,” jelasku kepada Noor, “Selain fasih berbahasa Inggeris.” Sememangnya pelukis cat air bernama Abdullah Ariff itu diterima untuk sertai Penang Impressionists, sebuah kelab seni yang hanya dianggotai isteri-isteri ekspatriat Eropah kerana telah kuasai bahasa tampak. Bahasa yang dibaca dengan mata. Semata-mata. Kuteringat akan cerita yang sering diulang-ulang: Apabila Charles Jackson mencadangkan seorang guru seni berbangsa Melayu itu seraya menunjukkan dua buah hasil karyanya, golongan suri rumah British itu benar-benar terkejut dan “mengangkat kening setinggi Bukit Bendera!”

Hendak tidak hendak, harus kutemukan catan landskap itu. Catan landskap terakhir Abdullah Ariff, artis cat air yang pernah hidup dan mati di pulau ini. Catan terakhir yang bertitik tolak daripada dua catan awal yang pernah buatkan kening mereka terangkat “setinggi Bukit Bendera” itu. Catan yang tidak pernah sampai kepada mata kita, malah mata sesiapa pun—kecuali Awang Dot. Dan kedatanganku ke sini sememangnya untuk bertemu dengan dia. Bertemu dengan Awang Dot.

“Kau masih nak jumpa dia, Indra? Demi landskap terakhir tu?” soal Noor. Soalan yang sering diulang-ulang.

Di penghujung jeti ini, apalagi yang mampu kulepaskan melainkan, “Kerana pada akhirnya, kita semua ingin menemukan keindahan.”

 

Orang II

Feri enggan mengucup jeti. Mengapa masih di tengah sana? Persis sebuah catan landskap; sebuah jeti dan sebuah feri yang tidak akan berlabuh, tidak pernah berlabuh.

Indra juga pegun di penghujung jeti.

“Aku…,” katanya ketika terik matahari mengerdipkan renik peluh di dahi, “Ingin menjadi laut.” Lalu melontarkan pandangan jauh ke tengah sana, hanyut ke dalamnya. Sememangnya sapuan kasar lagi ganas gulungan ombak itu menggambarkan obsesinya. Dia tidak seperti dulu. Dia damba akan laut yang akan menggarami usianya. Indra, kita ialah generasi yang tidak sempat makan garam. Kita ialah… “Kalau panorama pagi ini ialah sebuah catan landskap, ingin kau jadi apa, Noor?”

“Langit,” jawabku di sela-sela ragu, “Aku nak jadi langit.”

Sampan, perahu saling berlaga. Dihembus angin yang mengharap.

Kelihatan seorang lelaki berkemeja merah jambu masih berdiri di pangkal jeti, menangkap pagi dengan kameranya. Galak menggambar laut dan langit. Meskipun laut dan langit sudah tidak lagi mengenal pagi.

Kerana laut dan langit yang ditatap pada pagi ini—pada bila-bila masa pun—di pulau ini, di kota yang sedang dibangunkan kembali daripada sebuah tragedi, kalaupun mempesona, segala-galanya lain daripada yang dulu. Bagaimana untukku jelaskan kepadanya? Indra, gapailah awan-gemawan yang menggebu di langit itu, genggamlah pasiran pantai dari gigi laut yang cuba berbisik di telingamu itu, semua yang asal sudah tiada. Pemandangan ini dipancar dari atas sana, dari puncak Bukit Bendera. Tetapi awan, pasir dan apa-apa di antaranya itu bukannya pembohongan. Melainkan kebenaran yang mengganti lompong-lompong ketiadaannya. Ini terlalu rumit. Dan aku hanya membiarkannya lesap dibawa pergi angin Selat Melaka. Entah ke mana.

“Kenapa langit, Noor?”

“Rahsia alam?” dugaku. Walaupun kutahu selain di atas sana, rahsia alam juga tersimpan di bawa sana. Sama ada kita yang mencari atau terus menunggu; terbongkar sendiri di depan mata atau rahsia akan kekal rahsia.

“Kau memang begitu, Noor. Memang begitu. Masih seperti dulu,” ujar Indra. Jika hamparan alam dalam catan landskap menenang dan melegakan, moga kau juga berasa begitu melihat apa-apa yang terbentang di depan sana. Meski bagiku pula, hamparan alam itu mengubat rindu. “Kautahu, jika dalam sebuah catan landskap, laut dan langit dipisahkan oleh satu garis. Garis yang halus, Noor. Terlalu halus—"

Telefon bimbitnya berdering. Meneriakkan panggilan yang menggegaskan Indra ke sana. Ke mana? Dan aku yang mahu mengikut, ditegahnya. “Jangan pergi, Indra. Jangan!” tegasku. Benarlah, dia tidak seperti dulu. Langsung berlalu. Kata-katanya yang sempat singgah di telingaku, “Jumpa di panggung senja nanti!” Membuatku makin membenci wayang orang-orang konglomerat dengan haloba seni mereka. Membenci bapaku. Sehingga Indra pun turut terlibat sama.

Awang Dot, yang dikatakan masih menyimpan catan landskap terakhir Abdullah Ariff juga tidak menunjukkan rupa. Janjinya: Untuk serahkan catan itu sebelum berangkat, meninggalkan tanah terlaknat ini buat selamanya. Kerana catan ini tidak lagi bermakna di tanah besar di seberang sana. Tetapi janji hanya tinggal janji.

Hanya lelaki dengan kamera yang tergantung di leher masih di situ, di pangkal jeti itu. Barangkali hendak menyingkap rahsia alam daripada kepingan foto laut dan langit. Yang “dipisahkan oleh satu garis.” Tetapi secara nyata, bukankah laut dan langit tidak akan bertemu, tidak akan pernah bertemu?

 

Orang III

Aku Detektif Osbert Teo. Pemandangan yang kulihat selama ini hanyalah menerusi mata lensa. Termasuklah panorama di sepanjang Pengkalan Weld ini. Sejak pagi lagi aku di sini. Seperti pagi-pagi sebelumnya. Memutar-mutarkan lensa—mengezum jauh dan dekat—untuk mengatur langit dan laut di dalam pemidang tilik kameraku. Sehinggalah dua jeti masuk ke dalam mata lensa, ke dalam mataku. Kedua-duanya mengunjur ke laut, ke arah tanah besar di sebarang sana. Meluncurkan ingatanku sebelum ke pulau ini, ke kota ini:

“Penang Glorious Holidays Abroad” dengan mukataip bergaya Art Deco itu menangkap mataku terlebih dahulu sebelum mata lensa ini sempat menangkapnya. Dengan tulisan kuning terang yang menerangkan lagi sebab mengapa aku menerima tawaran daripada konglomerat ini dengan berlapang dada; untuk kembali ke sini. Entah salinan yang keberapa, landskap yang hampir menyeluruhi poster cetakan sutera saring berukuran kira-kira dua kali empat kaki itu masih mempesona: Sebuah kereta api funikular merah sedang menuju ke puncak Bukit Bendera, seekor monyet (atau tiga?) memerhati dari sebatang pohon tak berdaun, awan-gemawannya biru-jingga dan tandatangan Abdullah Ariff melingkar di atas dedaunan biru di penjuru bawah kiri landskap itu. Sama ada sensasi menaiki kenderaan atau menikmati pemandangan; kemodenan yang mencerobohi alam atau diperkecil, dikuasai alam?

Feri tiba dan aku melangkah dengan kesedaran: Ini bukan percutian. Meskipun berita-berita kehilangan Noor—dan lain-lain—yang tersebar ke serata tanah besar ini sudah tidak dipeduli, harus kubawa juga dia keluar dari pulau sana, dari kota sana. Mesti kubawanya pulang segera.

Sesekali kuhembus debu merah jambu yang melekat di mata lensa. Sebelum mengatur komposisi subjekku: Noor dan Indra. Dengan masing-masing masih berdiri, sendiri-sendiri di setiap penghujung jeti. Tetapi kedua-dua jeti itu terlalu jauh di antara satu sama lain. Dan bilamana dilihat kedua-duanya dalam pemidang tilik, komposisinya terasa tidak kena. Satu jeti terlalu ke kanan. Manakala satu jeti lagi terlalu ke kiri. Masing-masing pun terlalu dekat ke sisi bertentangan. Tidak kumahu foto landskap ini nampak simetri.

Tetapi mana mungkin foto-foto landskap yang kutangkap mendekati seperti catan. Sememangnya gerak kerjaku merakam seadanya. Aku bukan idealis. Ya, aku pernah—dan masih—mencemburui sikap romantis seorang artis landskap yang sering melukis dalam sepi, jauh dari orang ramai untuk dekati alam. Mereka bukan realis. Sememangnya gerak kerja mereka bukan untuk melukis dengan tepat. Tetapi dengan bebas. Dan kebebasan itulah yang kucari. Kebebasan memilih mana-mana yang kuingini. Dan itulah yang lebih peribadi.

“Penang Glorious Holidays Abroad”: Meski bukan percutian tetapi sebuah kebebasan. Untuk melihat sendiri landskap demi landskap daripada garis-garis cahaya yang dipancar dari atas sana, dari puncak Bukit Bendera. Untuk melihat sendiri adalah untuk meneliti secara terperinci, untuk menyiasat: Mengapa Noor masih di sini? Apa yang dicari, yang membuatkan panorama pulau ini memanggilnya untuk kembali? Landskap yang kukenali dan kagumi pada awalnya pun hanyalah menerusi kesemua sepuluh catan Robert Smith yang dihasilkannya sepanjang berada di Pulau Pinang. Tetapi keindahan begitu terlalu lain daripada apa-apa yang tergambar sekarang.

Ada waktu yang menindih waktu. Pokok-pokok kelapa yang melambai mesra itu seakan-akan bukan di situ. Sesekali liuk dan lenggoknya di Pengkalan Weld itu berganti dengan batang-batang tubuh buruh yang memunggah barang-barang dagangan dari dalam sampan, dari dalam perahu. Kereta-kereta lembu patuh menunggu, terus menunggu.

Desas-desus kedengaran, orang-orang konglomerat itu terdiri daripada penganut Cult of the Picturesque. Mereka ingin bangunkan kembali dunia indah—dunia yang pernah indah—melalui catan landskap oleh para artis cat air yang pernah berkongsi nafas dengan pulau ini. Lalu kerja-kerja pengumpulan catan landskap pun kian giat, mengghairah. Untuk menafaskan kembali pulau ini. Entahlah. Ada konspirasi di balik konspirasi. Boleh jadi mereka hanya mahu mengumpul hasil kerja seni ini. Siapa tahu? Sekadar ingin memiliki. Dan bayarannya sebuah ilusi.

Perlahan-lahan kuputarkan mata lensa. Tumpuan yang memastikan. Indra dan Noor akan dipisahkan dalam bingkai berasingan. Masing-masing akan menyendiri, punyai ruang sendiri dalam bingkai tersendiri. Dalam komposisi menurut hukum tigaan sebaik sahaja mereka masuk ke dalam setitik apertur yang dimatikan dengan klik!

 

Orang I

“Kau begini kerana tragedi, Indra. Kita begini kerana tragedi,” kata Noor, yang masih terngiang-ngiang di telingaku. Dedaunan berselang-selikan bongkah batu menjadi coret-moret hijau kekuningan yang sesekali dicorengkan kelabu di kiri dan kananku tatkala kereta api funikular merah ini menderas ke atas; tidak sempat dipegunkan jendela. Menjadi gores-gores impresionis yang menangkap cahaya dengan palitan liarnya, memegunkan apa yang dikatakan sementara. Memegunkan aku. Katanya lagi, “Kau terjadi sesudah tragedi.”

Hanya sewaktu berseorangan di dalam funikular merah ini, aku cuba mencerna kata-katanya kembali. Kata-kata yang pada awalnya hampir menahanku untuk ke sini, ke pekan Ayer Itam ini. Tetapi panggilan telefon itu terlebih dahulu mencantas kata-katamu, Noor. Terlebih dahulu menoktahkan kata-katamu. Panggilan daripada Awang Dot. Oleh sebab itulah aku mesti ke sini. Kerana aku sering ditewaskan naluri. Siapa sangka Awang Dot akan menyerahkan sendiri catan Abdullah Ariff itu kepada Gudang Landskap di kaki Bukit Bendera? Sedangkan selama ini dia begitu keras sekali enggan melepaskan.

Dan aku tiba pada waktu kelibat bersongkok itu melangkah keluar dari gudang. Aku tidak sempat bertemunya untuk bertanyakan, “Kenapa?” Kerana catan landskap terakhir Abdullah Ariff itu telah pun dalam perjalanannya ke atas sana, ke puncak Bukit Bendera. Aku mahu melihatnya. Sanggup mati untuk melihatnya!

Funikular merah kian deras membelah rimba. Kiri dan kananku menghitam. Langsung hitam sebaik sahaja ditelan terowong.

Naluriku kuat mengatakan memori ini bukan milikku; aku menjadi pelukis kembara pertama daripada bangsaku usai selesai menuntut di sekolah seni lukis. Latihan akademi yang kuterima membolehkan aku mendokumentasi sudut-sudut pandangan tanah-tanah yang baru mereka teroka dengan baik. Amat baik. Aku dan mereka, masing-masing pun menyanjung gambaran landskap yang indah-indah. Keindahan sebelum tanah-tanah itu dijarah untuk dibangunkan kilang-kilang. Sebelum tempatku digantikan oleh jurukamera. Dan entah mengapa, dengan tidak semena-mena, mereka menjelma semula di depanku. Orang-orang konglomerat itu menugaskan aku untuk mencari kembali catan-catan landskap oleh para artis cat air yang pernah hidup dan mati di pulau ini. Hanya cat air, bukan cat minyak atau apa-apa bahantara yang lain. Sekurang-kurangnya buat masa ini. “Untuk menyelamat,” jelas mereka, “Untuk memulihara dan membaik pulih.” Tetapi aku tidak mahukan sebarang bayaran. Mahu kutatap catan landskap terakhir Abdullah Ariff itu sahaja. Catan yang sudah pun tiba di puncak Bukit Bendera.

Pintu besi itu kukuak dengan sepenuh tenaga. Bilik kelam yang membahang itu tidak menahanku untuk masuk ke dalamnya—mencerobohinya. Pada dinding di hadapanku, di bawah lampu yang menyala lesu, tersandar sebilangan catan yang masih kukenal: beberapa catan landskap Robert Smith dan sebuah catan-dalam-catan, Pemandangan Malaysia Teragung (1972) Redza Piyadasa.

Sebatang koridor membawaku ke suatu ruang yang jauh ke dalam, ruang yang mengelam. Bingit besi berlaga. Gear-gear berputar dengan gigi-gigi buasnya. Sebuah mesin raksasa berbentuk sfera mendenguskan wap panas daripada batang-batang terobong di kepalanya. Ghairahnya menelan satu persatu catan landskap di atas tali sawat penyampai yang bergerak ke dalamnya. Menerusi cermin, dapat kulihat bagaimana Landscape (1952) Yong Mun Sen diimbas di dalam perut mesin itu. Dengan garis-garis cahaya melintang dan menegak yang dilarikan dari kiri ke kanan, belakang ke depan. Gelombang-gelombang nostalgia menggetarkan imejnya. Menjadikan pigmen-pigmen biru-hijau yang telah pudar pada bukit-bukau di atas catan lama itu tidak stabil. Imbasan demi imbasan

—catan berkecai, lenyap dalam sekilas cahaya.

Catan-catan yang lain menunggu. Di manakah catan landskap terakhir Abdullah Ariff itu? Tidak dapat kulihatnya dengan jelas di dalam kelam ruang ini. Segalanya samar-samar. Tetapi gerak naluriku menunjuk kepada yang itu. Yang sedang disuap kepada bebola besi gergasi yang sentiasa lapar akan objek seni!

Dengan kudrat yang masih tersisa, kutolak tuil ke arah kata “OFF” sesungguh-sungguhnya. Tetapi tidak terdaya. Dengan buru-buru mataku meliar ke serata ruang itu. Mata yang memburu. Sebelum tertumpu kepada sebatang tukul yang tersandar kaku di tepi pintu. Lantas mencapainya. Mengambil lajak beberapa langkah ke belakang, berpusing sebelum dilemparkan sepuas-puasnya ke arah gear-gear yang rakus bekerja. Gigi-giginya rumpang rongak. Ada jeritan yang mengilukan daripada sistem yang mulai berkecamuk. Mesin tiba-tiba bergegar—mengamuk!

Siren mendengungkan amarah dengan menjegilkan mata-mata merahnya. Kulihat kedua-dua telapak tanganku. Tangan yang ingin menyelamat. Apa salah dan silapku? Sehingga pada suatu detik, jari-jemari runcingku dicantas garis-garis cahaya. Ada dan tiada. Ada. Tiada. Dengan kilasan-kilasan yang menjelmakan. Yang melenyapkan. Mesin tersedak wap sendiri. Cermin retak. Cahaya benderang membersit bebas; tidak sempat mengimbas catan landskap terakhir Abdullah Ariff. Tidak sempat mencelikkan aku. Tidak sempat mengejutkan aku dengan raungan daripada pembesar suara yang mencorongkan suatu penyesalan: [TIDAAAAKKK!!]

 

Orang II

Terpampang poster The Cameraman di luar pawagam Odeon. Berlatarbelakangkan kuning terang, karikatur Buster Keaton yang memeluk erat kamera berkaki tiganya sedang ditarik seorang polis dari belakang trak. Dan gelagat ini diperhati seekor monyet. Sememangnya hidup manusiawi akan sentiasa diperhati. Akan terus diperhati.

Penang Road semakin kurang disesakkan motokar. Sebuah kereta kuda dengan mengah dan cungap membawa tuannya pulang. Sepertimana lewat petang itu pulang meninggalkan waktu. Bau bertih jagung hadir dan hangat menggoda hidungku. Entah mengapa kebimbangan membahang. Kedinginan sebotol Coca-Cola akan menyurutkan keresahanku. Ah, di mana Indra?

Beberapa detik sesudah dia bergegas pergi tadi, telefon bimbitku turut berdering. Dan aku melemparkannya ke laut. Membiarkan panggilan itu ditenggelamkan tanda tanya. Kurasa bersalah, Indra. Benar-benar rasa bersalah. Kerana memperguna kau, Indra. Perguna kau. Kerana nafsu seni orang-orang konglomerat itulah. Mesti kujelaskan kepada Indra segala-galanya nanti. Mesti. Menjelaskan bagaimana dia, aku, kita begini kerana tragedi.

Ada yang kata orang-orang konglomerat itu sendiri yang mewayangkan letupan kilang-kilang mereka sebagai suatu kemalangan. Untuk mengalihkan tumpuan? Entahlah. Kerana ada satu lagi spekulasi yang belum dipecahkan, tidak akan pecah kalaupun dihempas ke atas bongkah-bongkah batu di Pengkalan Weld itu: Ini semua dijana oleh siapa? Oleh apa? Tiada orang yang pernah ke atas sana, ke puncak Bukit Bendera. Ada yang kata ini semua bukan dicipta oleh kita. Ada juga yang kata ini semua datang daripada kewujudan yang lain. Rahsia alam? Entahlah.

“Ini siapa?” soalku kepada lelaki separuh umur berambut nipis semasa melintasi kedai gambarnya tadi. Ada siluet seseorang dalam sekeping foto landskap bertona sepia yang baru siap digantung menghadap dinding kaca, menghentikan langkahku di kaki lima. Lantas aku melangkah masuk dan menyedari ruang dalaman Mun Sen Studio itu juga rata-ratanya digantung dengan foto-foto landskap yang berbeza tetapi masih mempunyai bayangan seseorang yang hampir serupa, berdiri membelakangi kita, menghadap pemandangan di depannya. Komposisi setiap satu fotonya mematuhi hukum tigaan; apabila dibahagi tiga secara sama rata, melintang dan menegak, tinggi figura yang berdiri itu selalunya tidak pernah melebihi satu pertiga daripadanya.

“Bukan siapa-siapa,” balas lelaki separuh umur sambil memasukkan potongan negatif filem ke dalam sampul, “Hanyalah stafaj.” Stafaj? Jelasnya, seperti yang sering dilihat dalam catan-catan landskap, apa-apa yang ditambah si artis untuk hidupkan landskapnya. Tetapi dalam foto, figura tak bernama ini sesekali kelihatan terpisah dengan landskapnya. Kelihatan seolah-olah dia tidak berada di sana. Dedahan ganda? Ada sangkaan yang menindih sangkaan. Dan stafaj ini bukan lagi sekadar aksesori mahupun dekorasi. Renungan kita direnggut sebelum dilepaskan ke arah ketidaktentuan alam yang berkuasa di depannya. Renungan kita ialah renungannya.

Seseorang terlanggar bahuku. Semakin ramai yang berpusu-pusu masuk ke dalam pawagam. Filem bisu itu tidak akan menunggu. Filem bisu itu akan bersuara bila tiba waktunya. Suara yang akan menenang dan melegakan kegelisahanku. Di mana Indra? Dia tidak seperti dulu. Harapnya dia akan tiba dan mencariku, duduk di sebelahku sebentar lagi. Dan aku turut masuk bersama-sama orang ramai itu. Masuk ke dalam keramaian yang sunyi.

 

Orang III

Aku Detektif Osbert Teo. Apa yang kudengar: “Kita akan menang, akan menang. Walau masing-masing tewas dalam peperangan sendiri.” Dia perkenalkan diri sebagai Awang Dot di hujung talian. Talian yang langsung mati tatkala kulewati jeti demi jeti di sepanjang Pengkalan Weld itu. Angin Selat Melaka terus-menerus menyapaku. Tetapi tidak kuendahkan. Siapa yang menang? Dan siapa pula yang tewas? Siapa “kita”?

Kemejaku berdebu merah jambu. Kemeja yang telah menyarungkan aku dengan bau laut sejak pagi tadi. Indra, aku begitu kagum dengan cahayamu. Cahaya yang tidak akan malap di ingatanku. Ketika tubuhmu itu digegaskan oleh suatu panggilan. Ketika tubuhmu itu terlanggar bahuku di pangkal jeti, untuk menahan teksi berkuasa wap yang berdekatan. Mengapa ingin ke Gudang Landskap di Ayer Itam, di kaki Bukit Bendera? Mengapa begitu tergesa-gesa? Jari telunjukku kejang kaku di atas butang pengatup kamera; tidak sempat—tidak mampu!—berbuat apa-apa.

Sudah entah berapa lama aku di pulau ini, di kota ini tetapi masih tidak dapat membina batang-batang jalannya dalam kepala. Masih memerlukan garis-garis yang bersilang, saling bertemu di atas peta. Semata-mata untuk ke Lebuh Light, jalan yang pertama dibina di sini. Barangkali apa-apa yang terawal akan sentiasa terasa jauh. Tambahan lagi, bilamana mendekat ke penamat. Sedangkan dunia yang digambar di atas peta ialah dunia perseptual dan konseptual; perspektifnya tidak tentu. Lain halnya dengan landskap iaitu dunia yang digambar dengan deria, dunia berperspektif—satu, dua atau tiga. Alam berhubungan langsung dengan tubuh di mana kita bukanlah benar-benar bergerak di dalam ruang tetapi ruang yang bergerak dengan kita.

Dan aku meninggalkan pemandangan langit-laut persis karya impresionis itu yang berlumba-lumba menangkap cahaya kerana hadirnya tidak lama. Ada gesaan untuk menyelesaikannya selekas mungkin. Gesaan untuk memejalkan kesementaraan di luar studio, di tengah alam. Gesaan untuk selesai dengan alam. Sewaktu senja menemaniku melangkah ke selekoh kiri untuk ke Lebuh Light, masing-masing di sekitarku pula sedang mengejar waktu. Ngauman enjin motokar makin kuat. Larian seorang penarik lanca tidak berbaju itu pun meligat. Kerana senja teramat singkat. Dan aku menggemari waktu yang sementara ini. Amat menggemari waktu yang memisahkan siang dengan malam ini. Jika siang jelas awal dan akhirnya. Jika malam juga jelas awal dan akhirnya. Tetapi senja hanyalah senja yang itu-itu. Segaris waktu yang teramat halus, teramat singkat merahnya.

Satu persatu lampu jalan bernyala.

“Jumpa di kopitiam lama malam nanti,” ujar Awang Dot di hujung talian, panggilan yang menggelincirkan ingatanku di atas lengkung-lengkung landasan trem berkuasa wap; melewati sebuah menara jam merah jambu; melewati sebuah kubu; melewati hingar yang hilang. Melainkan degup George Town. Peta kulipat lalu disimpan di dalam saku kemeja. Kutepuk-tepuk kemeja dan seluar slek yang berdebu. Ada bau laut yang masih mengikutiku.

“Di Lebuh Light?”

“…”

“Helo?”

“…”

 

Orang I

Tubuhku terawang-awang, memendek dan memanjang di dalam gelap. Kegelapan maha pekat. Dengan kegelapan yang menindih kegelapan, kedinginan. Menindih tubuhku, kekejangan. Aku tidak dapat melihat tubuhku. Kerana kegelapan telah pun menelan cahaya. Tetapi kutahu semuanya di sini. Masih di sini. Setiap gerakan terasa berat. Tetapi aku gagahkan juga. Asalkan ke mana-mana. Aku tidak hendak terus-menerus di sini. Sendiri-sendiri. Aku tidak hendak hidup di dalam gelap. Atau beginikah… kematian?

Simpang malaikat empat puluh empat!

Aku masih punyai deria. Masih punyai rasa semasa menggerak-gerakkan jari-jemari runcingku, juga sepasang ibu jari kakiku. Kugerak-gerakkan semahu-mahu. Dengan sendi-sendi di kaki, di lutut dan paha, di siku dan bahu. Menguak dan menerajang kegelapan sepenuh kudratku. Segalanya terasa begitu lama. Dan hitam pekat jugalah yang terpugau di depan mata. Adakah aku kekal di sini, tidak ke mana-mana? Sehingga yang bersisa hanyalah mengah dan cungapku, yang menyedarkan: aku masih bernyawa!

Atau… jikalau beginilah rasa kematian, kumahu keluar dari sini, daripada kematian. Kumahu pulang kepada kehidupan. Oh Tuhan, tunjukkanlah aku jalan keluarnya, jalan ke sana.

Sedingin-dingin doa, dengan tidak semena-mena, telah memantulkan segarisan lengkung yang tidak berpenghujung dan satu titik di atasnya. Kutajamkan renungan ke dalam dot itu lama-lama; tidak pasti sama ada titik itu kecil ataupun jauh. Kucuba menggapainya; tidak didapat. Kucuba bergerak ke arahnya, kutujah tubuhku ke sana, dengan segarisan lengkung itu kelihatan makin melurus melintang; tidak pula mendekat. Keluhan duka nestapaku sia-sia. Kerana kegelapan telah pun menelan suara.

Sebagaimana gelita menyenyapkan raungan derita. Tatkala dimensi demi dimensi—sebanyak empat puluh empat itu dari setiap penjuru—menghiris tubuhku menjadi aku-aku yang lain. Lalu satu persatu aku pun meliut, cuba membentuk awan-gemawan, membentuk laut, menjulur menjadi pokok kelapa, berkecai menjadi pasiran pantai dan sebagainya. Tetapi tidak menjadi. Tidak menjadi apa-apa yang kembali masuk—menusuk!—ke dalam renunganku. Tidak menjadi seperti garis dan titik yang berlapis-lapis maknanya itu.

Adakah garis dan titik inilah keindahan yang ingin kutatap sepanjang riwayatku (atau keindahan ini yang menamatkan dan menoktahkan riwayatku): lukisan landskap terakhir Abdullah Ariff? Detik-detik akhir seorang artis yang tidak bebas lagi untuk keluar melukis sehingga menenggelamkannya ke wilayah baharu di sela-sela batuk dan sesak nafas terakhir itu: satu titik dan segarisan melintang. Kita tidak tahu dan tidak akan tahu apa yang menariknya ke situ. Atau karya ini yang tidak sempat diselesai?

Barangkali kerja-kerja menghasilkan landskap terakhir ini belum bermula—tidak pernah pun bermula—masih tersimpan dalam kepala?

 

Orang II

Yang lain-lain telah lama keluar melainkan aku, masih kekal keseorangan di kerusi menghadap sebesar-besar layar kosong. Seakan-akan sekilas demi sekilas keresahan yang berganti kebimbangan, yang berganti kegelisahan bermain dan bergerak di situ, dalam kekosongan itu. Tidak terlihat dek mata, tetapi dapat dirasa. Kekosongan yang baru sahaja dipenuhkan gerak cahaya dan geri bayang The Cameraman. Berkali-kali. Dan kerana itu juga aku ke sini. Sehingga projektor dimatikan. Melenyapkan dan menyenyapkan filem bisu itu, termasuklah sebegitu ramai penonton yang telah memenuhi panggung ini di awal tadi. Masing-masing pun turut sama mati dengan cahaya. Dan aku bersama dengan tiga empat orang yang lain terbenam di kerusi, tenggelam dalam fikiran sendiri. Sehinggalah aku menyedari yang tiga empat orang itu, yang lain-lain itu telah lama beredar. Melainkan aku.

Langkah terasa berat untuk keluar dari sini. Setelah entah berapa lama, aku gagahkan juga. Sesekali kuhirup Coca-Cola yang masih berbaki di dalam botol dengan penyedut minuman. Masih berbaki sepertiga penuh pertimbanganku. Meninggalkan pawagam Odeon, bangunan dengan segi-segi Art Deco yang masih tersisa di kota ini. Beberapa orang penarik lanca tidak berbaju menunggu. Mengalihkan pandangan masing-masing ke tempat lain setelah memandang wajahku. Seolah-olah mengetahui gerak nubariku: aku mahu berjalan. Dari dalam selubung hitamnya, malam mengintaiku melewati deretan rumah kedai dua tingkat itu. Menuruti derap langkahku yang menyatu dengan degup George Town. Menuruti bekas tapak kasutku yang dihilangkan debu daripada runtuhan bongkah-bongkah ingatan. Debu merah jambu. Di Penang Road. Di Lebuh Leith. Di Northam Road. Di Lebuh Farquhar. Di mana-mana. Aku mahu ke mana?

Menoleh ke belakang, jauh ke atas sana, ke puncak Bukit Bendera, setitik cahaya telah tiada. Aku perlu melangkah. Perlu terus melangkah. Walau cahaya daripada satu persatu tiang lampu pula menyapa di sela-sela lengangnya. Menampakkan malapetaka demi malapetaka. Di sepanjang Lebuh Leith. Di mana-mana. Hitam langit masih tidak mampu menggelapkan ingatanku untuk ke sana, ke sebuah kopitiam lama di Lebuh Light. Selain bau teh bercampur kopi, ada aroma dari masa lalu yang merenjat deriaku. Mahu kularutkan keresahan yang memekat—dan tersekat—di kerongkong. Mahu kuluahkan, “Indra, kau di mana!”. Semahu-mahu. Dia tidak lagi seperti dulu. Dan entah macam mana, mataku terpaku tepat ke arah sebuah catan berbingkai merah yang tergantung di dinding sebelah kiri sebaik sahaja melangkah masuk. Seakan-akan menahanku untuk duduk. Catan hitam legam dengan segarisan melintang dan satu titik di atasnya. Hitam yang menindih kehitaman. Hitamnya menghitam. Perlahan-lahan kudekati catan itu. Mendekati garisan dan titik yang bukan hitam itu. Garisan dan titik yang seakan-akan memanggilku. Dan setelah diamat-amati, sedarlah aku yang garisan dan titik itu tidak diwarna, sehingga kelihatan jalinan kanvas di bawahnya.

I guess I forgot to put film in the camera,” seperti yang terpapar pada layar di pawagam tadi, yang Buster Keaton suarakan dalam filem bisu The Cameraman. Lupa? Entahlah, itu hanya rasa. Kerana jika direnung-renung lagi apa-apa yang “lupa” diwarna itu, garisan melintang dalam catan mulai melengkung, hitam meriak, dan titik bergetar, seakan-akan bergerak!

 

Orang III

Aku Detektif Osbert Teo. Tidak seperti selalu, Noor yang sering melepaskan sekilas pandangan kepada sebuah catan berbingkai merah seraya melangkah masuk ke dalam kopitiam di Lebuh Light ini tertegun sebentar di situ. Tatapannya tidak seperti malam-malam sebelum ini. Tatapannya dalam. Dan aku yang duduk jauh ke dalam, berdekatan dengan laman dalam, ruang tidak berbumbung di bahagian tengah rumah kedai lama ini hanya memerhati. Sebotol Coca-Cola dua pertiga kosong digenggam dengan sebelah tangannya. Menggenggam dua pertiga kosong pertimbangannya. Noor mendekati, mengamat-amati catan rupa tepat berjudul Landskap Terakhir: Meninjau Menerusi Jendela Merah. Yang masih belum kutahu siapa artisnya, bila diselesaikannya. Yang lain-lain—yang tidak lenyap secara tiba-tiba tadi—di kopitiam ini juga tidak tahu.

Tetapi Noor kelihatan benar-benar ingin tahu. Barangkali bukanlah bila si artis menyelesaikannya apatah lagi apa judulnya; tetapi apa-apa yang sedang meragut seluruh pandangannya dalam sedetik itu. Sebelum duduk di meja marmar bulat yang paling hampir untuknya terus menatap. Dan aku pula masih merenung dan terus merenungnya. Memutar-mutarkan lensa kamera yang beralih-alih antara catan landskap dengan wajahnya. Lantas menyedarkan: barangkali pencarian kita yang sebenar bukanlah untuk melihat panorama yang berbeza, yang baharu di merata-rata dengan mata yang sama, tetapi cukup hanya di sini, untuk melihat panorama yang sama dengan mata yang baharu, yang berbeza-beza.

Habuk di atas permukaan meja, kucalit dengan hujung jari hantu dan telunjukku. Dengan secalit rasa ingin tahuku.

Seorang wanita tua menggantikan sebotol Coca-Cola dengan segelas cham peng di atas meja Noor. Lensa kamera mendekatkan mataku ke arah wajah Noor. Wajah yang terluka. Wajah grotes yang diherot-berotkan malapetaka. Wajah derita. Dan aku meneguk cham peng yang masih berbaki di atas mejaku. Melarutkan keresahan di kerongkongku. Menghanyutkan angan-anganku untuk ke Mun Sen Studio di Penang Road itu. Harus kucari kedai gambar yang lain; untuk dicuci landskap-landskap yang telah puas kutangkap. Panorama pulau yang terus memaku—memukau?—pandanganku atau kerana Indra dan Noor yang berada di situ? Rückenfigur yang merenggut renunganku.

Yang datang bertiga, tinggal berdua. Atau keseorangan. Masing-masing pun kebingungan. Mencari-cari pertimbangan pada bayangan wajah sendiri di dalam gelas.

Foto-foto Indra akan kusimpan sahaja. Dan akan kukirimkan foto-foto Noor kepada konglomerat, kepada bapanya untuk menyatakan yang dia ada, dia bahagia. Aku tidak mahukan sebarang bayaran. Aku telah melihat segala-galanya. Aku akan kekal di sini. Dan kutahu Noor juga begitu. Tidak akan kutarik tatapan yang telah masuk ke dalam Landskap Terakhir itu. Untuk apa lagi dibawanya keluar dari kota ini, dari pulau ini segera? Jika seluruhnya sudah kembali nyata.

Noor sudah tiada lagi di situ. Dan makin ibu jari tanganku menggosok-gosok habuk pada hujung jari hantu dan telunjuk, makin menebal debu merah jambu. Kadangkala buatku tertanya dalam tawa: Debu ini daripada tubuhku? Tubuh kita? Yang cuba diberitahu dengan gestur wang? Aku tertawa dalam diam. Barangkali aku yang terlalu penat. Barangkali aku perlu berehat.

Kembali melihat sisa debu merah jambu bermakna kembali mengingat. Beringat-ingat. Akan debu daripada sebuah malapetaka. Debu yang tercipta daripada—dan membinasa—kilang-kilang milik konglomerat yang membarah di bahagian bawah pulau. Debu yang mengalirkan mimpi ngeri merah jambu ke muara. Debu yang melentur dan mematahkan garis-garis perspektif, meranapkan landskap-landskap di pulau ini. Debu yang mematikan alam semulajadi. Debu yang memati dan menghidupkan warga daripada sebuah tragedi seperti Orang I, Orang II, juga aku—kami. Kerana dengan debu merah jambu ini juga, apabila bercampur dengan cahaya yang dipancar dari atas sana, dari puncak Bukit Bendera, akan menjelmalah semula alam semulajadinya, landskap-landskap agungnya, panorama yang mempesona. Juga jiwa-jiwa yang pernah ada. Untuk menghilangkan trauma—atau seperti ungkapan yang sering dijual orang-orang konglomerat, “untuk menyelamat”—jiwa-jiwa yang terselamat. Desas-desus juga kedengaran, orang-orang konglomerat itu ingin tebus salah dan silapnya. Entahlah, mungkin aku yang tersalah dan tersilap. Tetapi kutahu setitik cahaya jauh di atas sana, di puncak Bukit Bendera telah terpadam. Padam yang mengilhamkan. Bilamana tiada lagi pasiran pantai, pokok kelapa, laut, awan-gemawan dan segala-galanya

—tiada apa-apa.



Born in Penang, Azrin Fauzi is the author of three short story collections: Urban (2015), Metaskandal (2018), and Amok-Imago (2022). His short stories have been published in Malaysian anthologies, journals, literary magazines, and newspapers. His fourth short story collection-slash-artist’s book, Spesimen is in progress (to be unfinished) of which “Panorama People” is a part. He is on Instagram and Twitter at @azrinfauzi.